Sep 29, 2021 - FASSelangor FC bakal berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak untuk perlawanan kedua saingan TM Piala Malaysia menentang Terengganu FC hari ini pada jam 9.00 malam.
Menurut ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel, barisan kejurulatihan kendaliannya telah menganalisis corak permainan Terengganu FC demi memburu tiga mata seterusnya untuk naik ke tangga teratas kumpulan.
"Barisan jurulatih Gergasi Merah telah menyediakan segala maklumat dan mempersiapkan pemain untuk menentang pasukan Terengganu FC biarpun kami hanya ada masa dua hari sahaja sebelum terbang ke sini," jelasnya.
"Saya yakin dengan apa yang kita ada dan mahu pemain-pemain saya memburu kemenangan. Beberapa pemain tonggak telah kembali bersama pasukan dan ini pastinya akan memperkuatkan lagi pasukan. Saya yakin mereka akan berikan yang terbaik untuk tiga mata seterusnya.”
Bagi keberadaan pemain, Selangor FC tidak dapat menurunkan dua pemain import dari Jerman, Manual Konrad dan Tim Heubach dan penjaga gol, Tauffiq Ar-Rasyid yang masih dalam proses pemulihan dari kecederaan jangka pendek.
Manakala, tiga lagi pemain tonggak Gergasi Merah; Halim Saari, Shahrel Fikri dan ketua pasukan, Brendan Gan juga masih menjalani sesi pemulihan jangka masa panjang dan dijangka akan kembali ke pasukan selepas tamat musim ini.
Penyokong Selangor bagaimanapun boleh menarik nafas lega setelah Syahmi Safari telah selesai menjalani pergantungan perlawanan dan Aliff Haiqal Lau yang kini kembali bersama pasukan setelah pulih daripada kecederaan.
Pemain pertahanan tengah, Sharul Nazeem pula sudah hampir pulih daripada kecederaan yang dialaminya minggu lalu sebelum bakal melaporkan diri untuk panggilan Harimau Malaya pada hujung minggu ini.
Selangor kini berada di tangga ke-2 kumpulan B untuk saingan TM Piala Malaysia 2021, dengan 3 mata yang sama dengan pendahulu kumpulan, Terengganu FC dan kemenangan malam ini pasti akan meletakkan Selangor FC sebagai pendahulu kumpulan.
Semoga Selangor FC dapat membawa pulang tiga mata seterusnya dalam saingan TM Piala Malaysia 2021 sebelum kempen berehat seketika bagi memberi laluan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa. Teruskan perjuangan Gergasi Merah!
Demi kebanggaan.